Thursday, December 24, 2009

Living creatively



Be brave enough to live creatively. The creative is the place where no one else has ever been.

You have to leave the city of your comfort and go into the wilderness of your intuition.

You can't get there by bus, only by hard work, risking, and by not quite knowing what you're doing.

What you'll discover will be wonderful:

Yourself.

~Alan Alda, Actor~

Tuesday, December 22, 2009

Idea Global, Aplikasi Lokal

(Saya sempat mengambil foto itik-itik untuk projek ini semasa di Kemboja)

Saya pernah menulis tentang bagaimana idea bagaimana 1000 ekor itik boleh membantu menyara hidup 60 orang anak yatim di Aceh di sini.

Alangkah gembiranya saya apabila mendapat tahu idea itu yang dikongsikan bersama rakan-rakan yang mencari-cari solusi kepada situasi kemiskinan di Kemboja telah dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka.

Di Kemboja, idea membela itik digunakan untuk membantu ustaz-ustaz untuk mendapatkan sara hidup sehari-harian.

Oleh kerana para ustaz ini bekerja tidak bergaji, dengan membekalkan mereka 10 ekor itik telur dengan harga RM15 seekor,dapatlah keluarga mereka menyara kehidupan dengan menjual telur-telur itik di pasar.

Menurut kata orang-orang tempatan, telur-telur yang dijual itu boleh memberikan pendapatan sekitar RM5 sehari, cukup untuk menyediakan makanan sehari untuk sesebuah keluarga.

Sehingga kini, seramai 40 orang ustaz di kawasan Kampot, Kemboja telah menerima bantuan tersebut.

Idea membela itik yang diaplikasikan secara lokal untuk menyara hidup seorang ustaz di Kemboja atau seorang anak yatim di Aceh ternyata bersifat global!

Tuesday, December 08, 2009

Mencari dana

Alhamdulillah, sehingga kini usaha 'menggali' dana untuk menghadiri kursus "How to be a Stupid or The Clown's Intelligence" di London pada 18 - 29 Januari 2010 sedang giat dilakukan.

Sehingga kini, saya sudah mengumpul dana sebanyak RM1400.00 yang disumbangkan oleh rakan-rakan.

Saya sudah menghantar surat rayuan kepada YB Menteri Kebudayaan, Datuk Dr.Rais Yatim pada suatu pagi ketika saya dalam perjalanan bertolak ke Phnom Penh beberapa hari sebelum Hari Raya Qurban. Surat itu dihantar dengan tangan ke kediaman beliau yang terletak tidak jauh dari rumah saya.

Selain itu saya juga sudah menulis surat kepada Pengarah Urusan MAS untuk meminta penajaan tiket kapal terbang ke London.

Pengalaman mencari dana kali ini mengingatkan saya kepada kenangan duduk berjam-jam di internet cafe di Vientiane, Laos pada tahun 2002 menulis beratus-ratus emel untuk mencari dana untuk belajar kursus 'caring clowning' semasa Clown Camp di La Crosse, Wisconsin.

Teringat juga bagaimana pada suatu ketika, seorang rakan sejawat dari Malaysia yang bertugas di Vientiane mengatakan,

"I don't think you will be able to get U.S Visa at this point of time and you have to go back to Malaysia to apply for it."

Saya tidak mahu mempercayai kata-katanya dan berusaha. Alhamdulillah,visa yang sememangnya sukar diluluskan dari kerajaan Amerika terutama selepas peristiwa '11 September' berjaya diperolehi melalui bantuan sahabat-sahabat di Kedutaan Malaysia di Vientiane yang telah menghubungi kedutaan Amerika di Vientiane untuk membantu.

Dalam masa sehari sahaja visa itu diluluskan dan saya tidak perlu bersusah payah untuk pulang ke Malaysia untuk memohon visa di Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur.

Semoga usaha ini dipermudahkan Allah. Amin.

Monday, December 07, 2009

Memberi pancing



Menatap wajah-wajah anak-anak muda muslim di Kampot, Kemboja ini mengingatkan saya kepada pepatah Cina,

"Berikan seseorang seekor ikan, ia akan dapat makan sehari. Berikannya ilmu menangkap ikan, ia akan dapat makan selamanya."


Anak-anak muda ini tidak dapat menyambung pengajian di universiti tempatan di Kemboja kerana mereka tiada wang untuk membayar yuran pengajian.

Setiap tahun yuran yang perlu dibayar oleh mereka ialah sebanyak RM1200.00 (USD$350). Namun bagi mereka yang rata-rata datang dari keluarga miskin, jumlah itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicari.

Kebanyakan mereka terpaksa bekerja lima hari seminggu membanting tulang di sawah padi untuk menyara hidup keluarga mereka dan peluang untuk belajar hanya dapat dimanfaatkan pada waktu hujung minggu sahaja.

Bertemu dengan rakan-rakan yang turut sama ke Kemboja baru-baru ini, Tuan Yahya Yusof dan Tuan Badri semalam, saya dimaklumkan bahawa empat orang daripada mereka akan menyambung semula pengajian pada awal tahun 2010 apabila yuran satu semester sebanyak USD$100 sudah dibayar melalui dana sumbangan yang dikumpul oleh Tuan Yahya daripada rakan-rakan di Malaysia.

Berita baik yang diterima ialah, ketika ini pihak universiti di Kemboja sedang membuat promosi besar-besaran untuk menggalakkan anak-anak muda Kemboja memasuki universiti dengan mengurangkan jumlah yuran pengajian tahunan sebanyak USD$350 kepada USD$200 (RM700) sahaja.

Malah ia boleh dibayar secara ansuran. Namun promosi pengurangan kos yuran ini akan tamat pada hujung bulan Disember ini.

Ketika ini, masih ada lagi tujuh anak-anak muda muslim Kemboja di Kampot ini memerlukan bantuan kewangan untuk membayar yuran pengajian mereka. Manakala empat orang yang terdahulu mendapat bantuan kewangan bagi membayar yuran satu semester masih memerlukan USD$100 lagi untuk yuran semester kedua.

Kepada tuan-tuan yang dermawan yang ingin membantu anak-anak muda muslim ini mendapat peluang untuk menimba ilmu, bolehlah menghubungi saya melalui emel ini: adabi99@yahoo.com.